BERITA TERKINI   Kerajaan peruntuk RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia bantu golongan memerlukan dapatkan representasi guaman, pembelaan hak di Mahkamah Syariah - PM Anwar | PRN Johor : BN dan PH tanding 56 DUN, PN (33), Bersama (15), MUDA (4), bebas (6), Parti Orang Asli Malaysia (satu) dan PSM (satu) - SPR | PRN Johor : Parti Orang Asli Malaysia buat penampilan sulung, pertaruh Jati Awang dalam pertandingan empat penjuru di DUN Endau | UAV muncul pemangkin utama rangsang inovasi, pertumbuhan ekonomi dengan pasaran global diunjur melebihi USD55 bilion menjelang 2030 - PM Anwar | PRN Johor: SPR sahkan 172 calon layak bertanding, 138 calon lelaki dan 34 wanita - SPR | 

Pertumbuhan Malaysia Kekal Di Atas Trend 4.5 Peratus, Dipacu Pelaburan, Penggunaan – UBS

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal di atas trend pada 4.5 peratus, dipacu terutamanya oleh pelaburan dan penggunaan yang kukuh, kata UBS Investment Bank Global Research.

Ahli Ekonomi Kanan ASEAN dan Asia UBS bank berkenaan Grace Lim berkata pertumbuhan eksport juga dijangka kekal positif.

Beliau berkata peningkatan pelaburan langsung asing dalam pusat data dan pembuatan, di samping perbelanjaan pembangunan yang tinggi dalam dua tahun kebelakangan ini membantu ledakan pertumbuhan negara ini.

Malaysia juga katanya kekal sebagai penerima manfaat utama bagi pelaburan berkaitan peralihan rantaian bekalan seiring dengan perkembangan sektor teknologi.

“Kesemua ini telah diterjemahkan kepada peningkatan aktiviti ekonomi dari perspektif pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kami melihat pembentukan modal tetap kasar yang kukuh pada 2024 melebihi 12 peratus dalam istilah sebenar, dan menjangkakan ini akan kekal di atas tujuh peratus pada 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Begitu juga, Lim berkata penggunaan domestik kekal berdaya tahan, dipacu oleh pertumbuhan upah benar.

Beliau berkata walaupun penggunaan berkembang melebihi trend pada 2023 dan 2024, peningkatannya dijangka mereda namun masih disokong oleh pertumbuhan gaji sebenar yang positif dan kadar pengangguran yang rendah.

Berhubung dengan ketahanan ekonomi ASEAN, Lim menekankan permintaan domestik yang kukuh dan asas yang mantap akan terus menyokong ekonomi di rantau ini.

Asia Tenggara juga merupakan rantau alternatif strategik bagi para pelabur, katanya.

Negara-negara seperti Malaysia dan Thailand menarik FDI dalam sektor kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik, dan semikonduktor kerana syarikat-syarikat mengembangkan pengeluaran.

Secara umumnya, perdagangan intra-Asia seharusnya semakin mendalam dengan pengembangan pasaran eksport dan kepelbagaian sumber pengeluaran, dan memberi manfaat kepada sektor ini secara keseluruhan, katanya.

Perkembangan ini akan memberi manfaat kepada negara-negara yang paling bersedia untuk mendapat keuntungan daripada perubahan ini.

“Sebagai contoh, kami percaya bahawa peralihan berterusan dalam rantaian bekalan ke ASEAN (terutamanya Vietnam, Malaysia, dan Thailand) akan kekal dalam jangka sederhana.

“Pelaburan pembuatan ke ASEAN dijangka berlanjutan dalam jangka sederhana berikutan firma-firma mencari peluang untuk mempelbagaikan rantaian bekalan dan pasaran eksport,” kata Lim

-- BERNAMA