BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Kontrak Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Didorong Prestasi Eksport Lebih Kukuh

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu, didorong oleh data eksport lebih baik dalam keadaan sentimen pasaran yang positif, kata penganalisis.

Peniaga minyak sawit, David Ng berkata aliran kenaikan itu disokong oleh prestasi eksport yang lebih memberangsangkan daripada jangkaan serta harga minyak kacang soya Chicago yang lebih kukuh.

“Kami mendapati paras sokongan pada RM4,550 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,700 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada Selasa, syarikat penyelidik bebas AmSpec Agri Malaysia melaporkan eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 25 Februari meningkat 1.2 peratus kepada 879,652 tan, daripada 868,960 tan yang dihantar pada tempoh sama bulan lepas.

Pada akhir dagangan, kontrak bagi serahan Mac 2025 naik RM5 kepada RM4,728 satu tan, April 2025 menambah RM45 kepada RM4,700 satu tan manakala Mei 2025 meningkat RM46 kepada RM4,611 satu tan.

Jun 2025 menokok RM50 kepada RM4,517 satu tan, Julai 2025 naik RM36 kepada RM4,411 satu tan, dan Ogos 2025 menambah RM31 kepada RM4,344 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 65,530 lot daripada 69,259 lot yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka susut kepada 241,609 kontrak daripada 244,430 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan kekal tidak berubah pada RM4,850 satu tan.

-- BERNAMA