BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Pelaburan Domestik GLIC Perkukuh Ekonomi, Berdaya Tahan Terhadap Kesan Luar

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Usaha pelaburan domestik strategik oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kian penting selain berperanan memperkukuh ekonomi negara serta menjadi daya tahan terhadap kesan luar.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata ini juga penting bagi menghadapi ketidakpastian yang kian meningkat akibat pergolakan geopolitik, terutama di Amerika Syarikat.

“2024 menjadi tahun pencapaian luar biasa bagi GLIC yang mencerminkan tadbir urus kukuh, disiplin pelaburan dan komitmen terhadap kemajuan negara.

“Menerusi pasukan pengurusan yang amat berkelayakan dan rangka kerja risiko yang teguh, mereka terus mengharungi landskap pasaran yang sentiasa berkembang dengan wajar dan telus,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Ini bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai status komitmen pelaburan oleh enam GLIC sebanyak RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik.

Beliau juga bertanyakan mengenai usaha penambahbaikan terhadap kerangka proses penilaian wajar oleh GLIC untuk kelulusan pelaburan serta aspek pengurusan risiko mengambil iktibar daripada kerugian pelaburan FashionValet oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

Pada Ogos 2024, sebanyak enam GLIC secara kolektif telah memberi komitmen untuk melabur RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik (DDI) sepanjang tempoh lima tahun, di samping RM440 bilion dalam pelaburan pasaran awam.

Enam GLIC terbabit adalah Khazanah, PNB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menurut MoF, keuntungan amat memberangsangkan dan pertumbuhan mantap yang dilaporkan oleh Khazanah dan KWAP selain disokong oleh pasaran saham yang kukuh serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik daripada jangkaan, hanya mengukuhkan lagi kemajuan Ekonomi MADANI.

-- BERNAMA