BERITA TERKINI   Seramai 75,196 ahli KWSP terima insentif kerajaan berjumlah RM11.4 juta di bawah skim program i-Suri pada 2024 - Amir Hamzah | Jumlah keseluruhan caruman i-Saraan KWSP diterima adalah RM2.6 bilion pada 2024 - Amir Hamzah | Intel Corporation lantik anak kelahiran Malaysia, Lip-Bu Tan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 18 Mac depan | Suntikan kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem minyak dan gas strategik untuk ekonomi negara - PM Anwar | Proses audit dan ketekunan wajar tambahan akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 billion SEB - PM Anwar | 

Chemlite Yang Bakal Disenaraikan Di Pasaran ACE Sasar Kumpul IPO RM30 Juta

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Chemlite Innovation Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menyasar mengumpul RM30 juta melalui tawaran awam permulaannya (IPO).

Pengarah eksekutif dan ketua pegawai eksekutifnya Chong Yuen Fong berkata hasil daripada IPO itu akan digunakan terutamanya untuk mengembangkan operasi syarikat termasuk membina kemudahan baharu dan mengukuhkan modal kerja bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan keperluan operasi.

“Kami mahu merealisasikan pelan strategik kami dengan pengembangan perkhidmatan penganodan kami dan mengukuhkan kehadiran kami dalam segmen penyaduran logam melalui pembinaan kemudahan tambahan,” katanya semasa sidang media secara maya sempena pelancaran prospektus IPO syarikat itu, di sini, hari ini.

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 120 juta saham baharu pada 25 sen sesaham serta tawaran untuk menjual 60 juta saham sedia ada.

Chong berkata Chemlite merancang menggunakan dana itu untuk meningkatkan operasinya di Taman Sains Pulau Pinang dan kini sedang dalam proses membina kemudahan baharu seluas 100,000 kaki persegi.

“Peluasan ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam industri semikonduktor dan elektrik dan elektronik (E&E), khususnya daripada syarikat multinasional (MNC) di wilayah ini,” katanya.

Pegawai pengawal kewangan Chemlite, Lance Ng Swee Ping berkata berikutan permintaan yang tinggi di Pulau Pinang syarikat itu akan terus menumpukan pertumbuhannya di negeri tersebut bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Terdapat permintaan tinggi di Pulau Pinang kerana adanya sektor MNC, jadi wajarlah bagi kami untuk menumpukan kepada pertumbuhan di sana,” katanya. 

Apabila ditanya tentang potensi impak daripada sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport cip kecerdasan buatan (AI) Ng berkata Chemlite tidak bergantung kepada cip AI canggih dalam pengeluarannya.

"Kami tidak begitu menggunakan cip AI canggih dalam pengeluaran kami. Sektor utama yang mendapatkan khidmat kami adalah semikonduktor dan E&E, dan kami tidak melihat sekatan ke atas eksport cip AI akan menjejaskan operasi," katanya.

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen tawaran saham, dengan penyenaraian Chemlite dijadualkan pada 26 Mac 2025.

 --BERNAMA