BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Kebimbangan Mengenai Pengeluaran

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Khamis disebabkan kebimbangan mengenai pengeluaran pada minggu-minggu akan datang, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit, David Ng berkata ketegangan perang perdagangan yang berterusan di antara Amerika Syarikat dengan China turut menaikkan sentimen dalam pasaran minyak sawit.

“Kami mengunjurkan harga MSM akan mendapat paras sokongan iaitu pada RM4,400 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,600 setiap tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2025 meningkat sebanyak RM75 kepada RM4,744 setiap tan, April 2025 mencatatkan kenaikan RM62 kepada RM4,582 setiap tan dan Mei 2025 bertambah RM63 kepada RM4,480 setiap tan.

Sementara itu, kontrak Jun 2025 melonjak RM61 kepada RM4,383, Julai 2025 menokok RM44 kepada RM4,286 manakala Ogos 2025 mencatatkan kenaikan RM33 kepada RM4,222 setiap tan.

Jumlah dagangan berkembang kepada 107,247 lot daripada 90,251 lot semalam manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 239,817 kontrak daripada 236,629 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan bertambah RM40 kepada RM4,800 setiap tan.

-- BERNAMA