BERITA TERKINI   Seorang lelaki maut diserang sekumpulan gajah liar di Gua Musang hari ini - Polis | Pengembangan berterusan portfolio pinjaman dan deposit tingkatkan untung bersih Public Bank kepada RM1.75 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM1.74 bilion suku pertama 2025 | KPT struktur semula 36 politeknik, tawar pengajian peringkat Ijazah dan Sarjana selari keperluan industri berteknologi tinggi - Zambry | Permintaan buruh Malaysia meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun, merekodkan 9.23 juta jawatan pada suku pertama 2026 - DOSM | Kerajaan teliti insentif untuk percepat penggunaan trak EV susulan peningkatan kos subsidi diesel - Loke | 

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Sedikit Rendah Minggu Depan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan rendah sedikit minggu depan dalam persekitaran permintaan yang perlahan, berikutan pengeluaran dijangka menyusut disebabkan musim daun getah luruh, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Thailand telah mengeluarkan amaran cuaca ribut musim panas yang membawa hujan lebat, angin kencang, hujan batu, dan kilat yang dijangka menjejaskan 40 wilayah.

"Sumber utama ketidakstabilan lain dalam pasaran adalah kadar pertukaran yang berubah-ubah. Kami melihat perubahan yang signifikan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding dengan mata wang lain di seluruh dunia, dan ini tidak menguntungkan pasaran," katanya kepada Bernama.

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia turut menyatakan sentimen yang sama dan berkata bekalan getah akan kekal terhad disebabkan musim daun getah luruh dan cuaca lembap.

Sementara itu, ia turut menyatakan bahawa faktor-faktor lain yang memberi kesan kepada pasaran termasuk perang perdagangan, dasar tarif AS serta ketegangan geopolitik, terutamanya hubungan perdagangan AS-China.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) susut 15.0 sen kepada 899.50 sen setiap kilogram (kg), manakala lateks pukal menurun 4.0 sen kepada 708.00 sen setiap kg.

-- BERNAMA