BERITA TERKINI   Keuntungan Tahun Kewangan 2025 Sime Darby turun 37.7 peratus kepada RM2.06 bilion berikutan tiada sumbangan daripada keuntungan jualan segmen penjagaan kesihatan | Dua maut, lima cedera dalam kebakaran rumah di Batu 36, Jalan Pontian, Johor pagi tadi - Bomba | Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia - FAM | Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dinamakan Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta - FAM | Gempa bumi lemah 3.2 magnitud di Segamat pagi ini susulan kejadian gempa di daerah sama 24 Ogos lalu - KP MetMalaysia | 

96 Bengkel Petronas Auto Expert Tawar Diskaun Sempena Aidilfitri

PAPAR, 8 Mac (Bernama) -- Sebanyak 96 bengkel Petronas AutoExpert (PAX) di seluruh negara akan menawarkan perkhidmatan servis kenderaan pada harga istimewa melalui Program Servis Ihsan MADANI@ Petronas Auto Expert (SIM@PAX) sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata program berlangsung 15 hingga 29 Mac itu menawarkan diskaun antara 10 dan 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa bagi perkhidmatan servis kereta termasuk minyak pelincir mineral dan semisintetik.

Beliau berkata program kerjasama strategik Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Petronas itu merupakan inisiatif kerajaan di bawah agenda Payung Rahmah MADANI yang telah dimulakan pada 24 Jan lepas sempena Tahun Baharu Cina.

"SIM@PAX menyasarkan pemberian manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dalam mendepani cabaran kos sara hidup melalui penjimatan kos penyelenggaraan kenderaan sempena musim perayaan," katanya dalam kenyataan selepas merasmikan program itu di sini hari ini.

Beliau berkata program itu akan diperluaskan dengan menawarkan perkhidmatan servis kenderaan dan minyak pelincir untuk kenderaan jenis diesel, khususnya bagi membantu pengguna di Sabah dan Sarawak serta peniaga kecil yang menggunakan kenderaan jenis enjin diesel seperti trak pikap.

Orang ramai boleh menyemak lokasi bengkel yang terlibat melalui laman sesawang www.mymesra.com.my dan membuat tempahan janji temu servis kenderaan bermula hari ini menggunakan aplikasi Setel.

Sementara itu, KPDN turut menjayakan Program Ikhlas Ramadan bersama Gas Petronas dengan pemberian sumbangan Gas Petronas kepada 100 orang peniaga Bazar Ramadan Tapak Tamu Mingguan, Papar, termasuk penukaran silinder gas secara percuma sebanyak dua kali kepada penjaja yang terlibat.

-- BERNAMA