BERITA TERKINI   Pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 dijangka dibentang di Parlimen hujung tahun ini - Fahmi | Tahap pembinaan Projek Jambatan Kota Tinggi Bypass capai 85 peratus, jangka siap 28 Julai ini - Ahmad Maslan | Kerajaan mungkin kaji semula garis masa pelaksanaan cukai karbon berikutan krisis ekonomi dan geopolitik semasa - Arthur Joseph | Daya tahan rantaian bekalan, keselamatan tenaga dan makanan serta kerjasama dan pelaburan teknologi memerlukan usaha bersepadu ASEAN - Liew Chin Tong | Belajar daripada pengalaman krisis sebelum ini, kerajaan lebih teliti kepada bantuan yang menjurus kepada kelompok terkesan dengan krisis Asia Barat - PM Anwar | 

Unity Group Sasar Kurangkan 25 Juta Tan Pelepasan Karbon Dioksida Daripada Projek Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Unity Group Holdings International Ltd yang disenaraikan di Hong Kong menyasarkan pengurangan 25 juta tan pelepasan karbon dioksida (CO2) di Malaysia melalui projek-projek kemampanannya.

Ia berkata inisiatif itu bukan sahaja mengukuhkan penerimaan kredit karbon global, tetapi juga mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

"Dengan semakin meningkatnya keperluan untuk memerangi perubahan iklim, syarikat mengukuhkan peranannya dalam memajukan penyelesaian kemampanan global," katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Unity Group Mansfield Wong berkata syarikat itu percaya dengan kekuatan tindakan secara kolektif, yang mendorongnya mencipta penyelesaian yang menetapkan piawaian baharu untuk industri.

"Kita mesti bertindak sekarang dan bertindak secara bersama. Misi kami adalah untuk beralih daripada pemanasan global kepada penyejukan global melalui inovasi, kerjasama, dan tindakan iklim yang bermakna," katanya.

Diperkenalkan di Persidangan Hari Kredit Karbon Antarabangsa, program Perintis Hijau Unity Group menumpukan kepada mengurangkan kesan alam sekitar dengan pencahayaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang cekap tenaga ultra tinggi.

Ia menampilkan pencahayaan ESG yang sangat cekap tenaga menggunakan 75 peratus kurang tenaga berbanding diod pemancar cahaya (LED) standard, bertahan sehingga 40 tahun, dan mempunyai kadar kecacatan hanya 0.01 peratus, sekali gus merevolusikan kecekapan tenaga.

-- BERNAMA