BERITA TERKINI   Beras tempatan kini tersedia di pasar raya seluruh negara – Mohamad Sabu | PM Anwar seru pemimpin masyarakat bantu perjelas dasar dan kejayaan kerajaan | 

Malaysia Kekal Komited Mudah Cara Pelaburan Baharu, Tangani Cabaran Luar - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Malaysia kekal komited dalam usaha memudah cara pelaburan baharu seiring langkah menangani cabaran landskap geopolitik dan geopolitik, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tanpa menyangkal impak pengaruh geopolitik dan geoekonomi terhadap satu-satu keputusan korporat, beliau sebaliknya menegaskan kerajaan bersedia untuk campur tangan jika turut memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Kita mahu memberi kepastian bahawa jika ada impak ke atas pekerjaan maka Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan semua agensi berkaitan dalam kerajaan akan libat urus dengan syarikat-syarikat terbabit bagi membantu kakitangan terjejas mendapatkan pekerjaan baharu.

“Ini adalah sesuatu yang penting,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran inisiatif Perdagangan Digital MADANI di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan pengeluar kereta Porsche mengurangkan tenaga kerja selain melaksanakan langkah pengurangan kos, potensi tekanan penyusunan semula ke atas sektor automotif Malaysia serta persediaan kerajaan bagi menanganinya.

Tengku Zafrul berkata landskap geopolitik semasa telah memberi kesan geoekonomi dan kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa.

“Namun, kita juga perlu mengakui bahawa ini bukan hanya setakat cabaran geopolitik kerana adakalanya dinamik industri turut memainkan peranan.

“Elemen persaingan juga ada. Dalam sektor tertentu, termasuk industri automotif, penggiat berdepan saingan daripada yang baharu, khususnya sektor kenderaan elektrik. Oleh itu, gabungan faktor mungkin menjadi puncanya,” katanya.

-- BERNAMA