Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Berikutan Pengukuhan Dalam Harga Soya
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi, menjejaki pengukuhan harga dalam minyak kacang soya, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Kebimbangan yang berterusan terhadap output yang lemah juga menyokong harga MSM.
"Secara teknikal, harga MSM mempunyai sokongan pada paras RM4,500 satu tan, dengan rintangan pada RM4,680 satu tan," kata Ng kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata momentum positif dalam niaga hadapan minyak sayur-sayuran China, bersama-sama dengan harga tenaga yang mantap telah menaikkan harga minyak sawit.
Bagaimanapun, permintaan yang lemah dari pasaran destinasi mengehadkan keuntungan.
Pada penutup, kontrak Mac 2025 memperoleh RM14 kepada RM4,773 satu tan, April 2025 adalah RM38 lebih tinggi pada RM4,671 satu tan dan Mei 2025 menokok RM52 kepada RM4,539 satu tan.
Kontrak Jun 2025 melonjak sebanyak RM65 kepada RM4,435 satu tan, Julai 2025 menambah RM69 kepada RM4,337 satu tan dan Ogos 2025 meningkat RM68 kepada RM4,277 satu tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 86,679 lot berbanding 94,670 lot yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 247,422 kontrak daripada 244,703 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan kekal pada RM4,850 satu tan.
-- BERNAMA