BERITA TERKINI   Laporan semakan insiden letupan saluran gas di Putra Heights diserah kepada Kerajaan Persekutuan bulan lepas - MB Selangor | PM jamin kontraktor kecil berprestasi baik akan diberi lebih banyak kontrak untuk berkembang | Peruntukan perolehan kerja untuk Kementerian Pendidikan dinaikkan daripada RM400 juta kepada RM900 juta - PM Anwar | Guru jadi pempengaruh media sosial perlu jaga adab, hujah berlandaskan fakta - PM Anwar | BN umum tanding di semua 56 kerusi DUN pada pilihan raya negeri Johor akan datang - Onn Hafiz | 

Pertama Digital Peroleh 80 Peratus Kepentingan dalam D-Ron Pada Harga RM105.65 Juta

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pertama Digital Bhd akan memperoleh 80 peratus kepentingan ekuiti dalam kedua-dua D-Ron Singapore Ltd dan D-Ron Malaysia Sdn Bhd pada harga RM105.65 juta.

Pertama Digital dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia akan memperoleh 80 peratus kepentingan dalam D-Ron Singapura pada harga S$30.41 juta (RM100.66 juta) dan D-Ron Malaysia pada harga RM4.99 juta.

“Penyelesaian penjualan dan pembelian saham jualan akan diadakan pada 14 hari dari tarikh tanpa syarat atau pada tarikh lanjutan lain yang mungkin dipersetujui oleh semua pihak terlibat secara bertulis,” katanya.

Pertama Digital berkata cadangan pengambilalihan itu membentuk sebahagian daripada strategi perniagaan jangka panjang kumpulan itu dan akan membentuk sebahagian daripada cadangan pelan penyelarasan syarikat.

"Ahli lembaga pengarah menjangkakan cadangan pengambilalihan itu akan meningkatkan pendapatan dan memberikan nilai mampan secara berterusan kepada pemegang saham Pertama Digital dalam jangka sederhana dan panjang," katanya.

Pertama Digital berkata pelaburan yang dicadangkan itu tidak akan menjejaskan modal saham terbitan dan berbayar syarikat atau pegangan saham pemegang saham yang besar kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham baharu.

-- BERNAMA