BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Petronas Enggan Ulas Kemungkinan Tarik Diri Dari Argentina

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) tidak menafikan mahupun mengesahkan laporan bahawa ia sedang membuat penilaian untuk menjual aset minyak syal di Argentina namun memaklumkan sentiasa mengkaji semula portfolio perniagaan di semua negara yang ia mempunyai pelaburan.

“Petronas mengkaji portfolio perniagaan secara berterusan di semua negara ia mempunyai pelaburan bagi memastikan kesesuaian terbaik dengan strategi pertumbuhan dalam landskap tenaga yang semakin berkembang,” kata syarikat minyak dan gas negara itu bagi menjawab pertanyaan Bernama mengenai laporan berita Bloomberg.

 Bloomberg melaporkan bahawa Petronas Malaysia sedang menilai untuk menjual aset minyak syal di Argentina, langkah yang akan melengkapkan tindakannya untuk keluar dari ladang Vaca Muerta yang berkembang pesat di negara itu berikutan sebilangan jurugerudi antarabangsa turut berhasrat untuk keluar daripada rantau itu.

Laporan yang memetik sumber itu menjelaskan Petronas telah memulakan proses yang mungkin menyebabkan penjualan pegangan 50 peratusnya dalam La Amarga Chica, usaha sama dengan syarikat milik kerajaan, YPF SA di kawasan pengeluaran minyak utama Vaca Muerta.

Penglibatan Petronas dalam La Amarga Chica bermula sejak 2014.

-- BERNAMA