BERITA TERKINI   Tiada unsur buli babitkan kes pelajar tingkatan empat yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Seremban - KP Pendidikan | Kerjasama itu membuka ruang penglibatan lebih strategik pada masa depan termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan, antara pemilik rizab gas terbesar dunia - PMO | PM Anwar, Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini saksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan - PMO | Pencapaian ini hadir sempena 30 tahun kerjasama Malaysia, Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara - PMO | Kerjasama strategik antara Petronas, pihak berkuasa Turkmenistan buka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan - PMO | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Tinggi Minggu Depan

Oleh Danni Haizal Danial Donald

 

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Pasaran niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga emas dijangka diniagakan antara US$2,970 dan US$3,030 setiap auns troy.

“Saya amat percaya emas akan memecahkan rekod US$3,000 setiap auns troy.

"Gelombang tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan kebimbangan ekonomi yang berterusan mendorong pelabur ke arah aset pelaburan yang selamat," katanya kepada Bernama.

Innes berkata pasaran sedang menentukur semula realiti bahawa kebimbangan pertumbuhan kini menjadi fokus utama berbanding kebimbangan terhadap inflasi, mengukuhkan peranan emas sebagai lindung nilai utama.

"Persamaan untuk emas kekal mudah: tarif yang lebih tinggi sama dengan ketidaktentuan yang lebih tinggi, dan itu mendorong permintaan yang lebih kuat untuk emas."

"Dengan selera risiko yang semakin pudar dan penggubal dasar yang semakin tertekan, kenaikan harga emas yang tidak henti-henti boleh diumpamakan sebagai bahan bakar yang masih banyak di dalam tangki," katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Mac 2025 meningkat kepada US$2,999.60 setiap auns troy daripada US$2,928.60 sebelum ini, manakala April 2025 bertambah kepada US$3,009.90 setiap auns troy daripada US$2,938.40.

Sementara itu, kontrak Mei 2025, Jun 2025 dan Ogos 2025 melonjak kepada US$3,019.90 setiap auns troy daripada US$2,946.80 minggu lepas.

Jumlah dagangan meningkat kepada 419 lot pada minggu ini daripada 251 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 454 kontrak daripada 140 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan harga oleh London Bullion Market Association pada 13 Mac, harga emas fizikal berada pada US$2,974.05 setiap auns troy. 

-- BERNAMA