BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI peruntuk RM60 juta khusus untuk program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 18 buah sekolah tahfiz, sekolah pondok di Terengganu sepanjang tahun ini - PM Anwar | Sekolah tahfiz, sekolah pondok seluruh negara perlu kuasai ilmu teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) - PM Anwar | PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | 

Hextar World Di Empire City Meterai Perjanjian Penyewaan, Bakal Di Buka Pada Suku Keempat

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Hextar World di Empire City bakal dilancarkan pada suku keempat 2025, dengan majlis menandatangani ruang penyewaan baru-baru ini menghimpunkan peruncit utama dan rakan perniagaan untuk meraikan perkembangan tersebut.

Projek itu diuruskan oleh Alliance Empire Sdn Bhd secara kerjasama dengan antara lainnya Alliance Premier Sdn Bhd, EXSIM Holdings Sdn Bhd, JT Momentum Sdn Bhd dan Hextar Healthcare Bhd. 

Antara penyewa utama yang diumumkan ialah Stadium Luncur Ais Kebangsaan Malaysia (MYNISS) oleh Koperasi Industri Sukan Atlet Malaysia Berhad (KOPISAMB), Luckin Coffee, NOMNOM Food Hall dan Senkyaku Banrai. 

"Rundingan juga sedang giat dijalankan dengan Metrojaya, gedung serbaneka terkenal, untuk menyertai pusat beli belah ini," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hextar Datuk Eddie Ong berkata hab gaya hidup itu terletak di lokasi strategik dengan akses lancar ke lebuh raya utama.

"Menjelang pembukaan awal kami pada suku keempat 2025, kami teruja untuk memperkenalkan lebih banyak jenama dan pengalaman menarik yang akan menjadikan Hextar World sebagai destinasi ikonik bagi penduduk tempatan dan pelancong,” katanya.

Hextar World di Empire City, dengan keluasan bersih boleh disewa sebanyak 1.8 juta kaki persegi dibahagikan kepada enam zon unik.

Pembangunan ini menampilkan lebih 600 pilihan runcit, hiburan, dan makanan, termasuk pasar raya seluas 28,000 kaki persegi untuk keperluan harian serta ruang hiburan lebih daripada 450,000 kaki persegi yang dipenuhi dengan pelbagai tarikan serta 9,100 ruang parkir. 

-- BERNAMA