BERITA TERKINI   Penuntut lelaki itu akan didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia - AGC | Kes pijak al-Quran: Penuntut sebuah universiti akan didakwa esok di mahkamah - AGC | Setakat 28 Feb 2026, hampir 14.8 juta daripada 16.5 juta individu layak nikmati RON95 pada kadar RM1.99 seliter, dengan nilai jualan RM12.8 bilion atau penggunaan 6.46 bilion liter - Amir Hamzah | Setakat 28 Februari, jumlah Rakan Niaga SARA meningkat kepada 11,300 kedai di seluruh negara berbanding hanya 700 kedai pada 2024 - Amir Hamzah | Setakat 1 Mac 2026, nilai ringgit terus meningkat kepada RM3.89 berbanding dolar AS, cerminkan asas domestik kukuh - Amir Hamzah | 

Ketidakpastian, Risiko Geopolitik Bakal Pengaruhi Pasaran Modal Malaysia Pada 2025 – SC

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjangkakan pasaran modal Malaysia pada 2025 akan terus dipengaruhi faktor risiko utama termasuk ketidaktentuan keadaan pasaran kewangan.

SC berkata ketegangan geopolitik yang semakin meruncing menguji daya tahan perniagaan global berikutan kegentingan dan tempoh pertikaian di seluruh dunia yang akan terus mengancam laluan pengangkutan utama dunia.

“Keadaan ini seterusnya mencetuskan kekacauan rantaian bekalan dunia, pasaran komoditi dan keterjaminan makanan,” menurut SC dalam Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, SC berkata pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang baharu dijangka meningkatkan risiko dasar luar terhadap perniagaan antarabangsa.

Menurut SC, tarif, sekatan pelaburan, sekatan ekonomi dan dasar industri akan dipertingkatkan untuk bersaing dengan seteru geopolitik, memastikan rantaian bekalan strategik dan membangunkan sektor kritikal. 

Hal ini akan menyuntik risiko geopolitik dan kewangan terhadap perdagangan dan pelaburan, katanya.

Pada pada masa sama, SC berkata pertumbuhan ekonomi yang lebih lemah di China, digabungkan dengan sekatan dagangan yang hampir pasti oleh AS dalam masa terdekat, boleh memberi kesan antarabangsa yang memudaratkan melalui pasaran dagangan dan komoditi dunia.

“Kadar dasar di pasaran maju dijangka kekal lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama, namun wujud perbezaan di antara AS dengan Eropah,” katanya.

SC berkata landskap geopolitik tidak stabil dan sebarang peningkatan pertikaian geopolitik boleh membawa kepada pemecahan ekonomi yang mungkin memberi kesan kepada pasaran modal domestik mendorong pelabur dunia beralih kepada aset selamat dan berpotensi meningkatkan turun naik atau volatilti dalam pasaran.

Katanya, volatiliti yang dipacu oleh sentimen pasaran dijangka lebih kerap berlaku memandangkan pasaran dunia yang saling berkait.

Sementara itu, menurut SC, pasaran ekuiti Malaysia terus kekal berdaya tahan sepanjang 2024 walaupun berdepan dengan peristiwa dunia dan tempatan seperti jualan panik pada Ogos, penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS dan keputusan Pilihan Raya Presiden AS.

SC berkata dagangan di pasaran ekuti Malaysia kekal tertumpu dalam kalangan pelabur institusi tempatan. 

Menurutnya, pengurangan kepelbagaian pelabur boleh menyebabkan dagangan yang padat dan reaksi berlebihan kerana pelabur mungkin mempunyai tingkah laku dagangan yang serupa.

“Modal pasaran Bursa Malaysia Securities terus tertumpu dalam kalangan kaunter FBMKLCI yang membawa kepada risiko kedalaman dan kecairan pasaran jangka panjang.

“Ini memberi kesan kepada daya tarikan pasaran ekuiti Malaysia terutamanya untuk pelabur nilai dan mempengaruhi kelayakan pasaran ekuiti Malaysia untuk disenaraikan dalam indeks peringkat global,” katanya.

-- BERNAMA