BERITA TERKINI   Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid meninggal dunia tengah hari tadi | Inflasi Malaysia naik 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Semua kegiatan agama dan pembinaan rumah ibadat perlu ikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa - PM Anwar | Puasa satu ujian keikhlasan, disiplin dan integriti - PM Anwar | Mulakan Ramadan dengan perasaan tawaduk, muhasabah dan perbaiki diri - PM Anwar | 

Bursa Derivatif Dijangka Lancar Semula Kontrak SSF Pada Suku Pertama 2025

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Bursa Derivatif Malaysia dijangka melancarkan semula kontrak Niaga Hadapan Saham Tunggal (SSF) pada suku pertama 2025, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini. 

SC dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata beberapa pengubahsuaian telah dilaksanakan, termasuk memperluas bilangan saham pendasar yang layak kepada 30 saham yang merangkumi semua konstituen FBM KLCI daripada 10 saham sebelum ini. 

Pengubahsuaian itu, katanya, merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk merombak dan memperkukuh kontrak SSF. 

“Spektrum perubahan itu bertujuan meningkatkan daya tarikan kontrak, terutama untuk kalangan peserta runcit.

“Pelabur runcit boleh menggunakan SSF untuk melindungi nilai portfolio saham mereka atau memanfaatkan peluang dagangan yang membolehkan fleksibiliti lebih besar selain pengurusan risiko," katanya.

Menurut SC, pengubahsuaian lain termasuk mengurangkan saiz kontrak SSF untuk menampung penyertaan runcit dengan saiz kontrak SSF dikurangkan kepada 100 saham bagi setiap kontrak berbanding 1,000 saham untuk setiap kontrak.

Rombakan itu juga, katanya, turut mengambil kira pengubahsuaian had polisi spekulatif dan perubahan kepada pengendalian apabila terdapat tindakan korporat ke atas sekuriti pendasar. 

"Menerusi usaha  menarik segmen pasaran yang semakin berkembang, inisiatif ini boleh meningkatkan keluasan dan kedalaman pasaran serta memupuk persekitaran dagangan yang lebih pelbagai dan berdaya saing," katanya.

-- BERNAMA