BERITA TERKINI   Pembangunan solar terapung hidro hibrid dan hab hidrogen hijau di Kenyir berpotensi tarik pelaburan serantau dan antarabangsa – PM Anwar | Pembangunan solar terapung hidro hibrid hab hidrogen hijau di Kenyir buka ruang anak tempatan terima pendidikan TVET oleh Petronas dan TNB - PM Anwar | 

AS Kini Pasaran Eksport Terbesar Malaysia Atasi China - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) kini merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia mengatasi China dari segi kuantiti eksport, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

"China kekal sebagai rakan dagang terbesar kita dari segi jumlah perdagangan, tetapi AS kini destinasi eksport utama Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ASEAN Unity Drive 2025, di Menara MITI, di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan terus mengadakan libat urus dengan syarikat multinasional dan dewan perniagaan AS untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala dan mengenal pasti bidang kerjasama baharu.

Tengku Zafrul juga menggalakkan syarikat Malaysia untuk menimbang melabur di AS, terutamanya dalam sektor yang berdaya maju secara komersial.

“Kerajaan akan berusaha untuk membantu memudahkan syarikat Malaysia yang ingin berkembang ke pasaran AS.

“Walaupun tiada rancangan setakat ini untuk perjanjian perdagangan antara Malaysia atau ASEAN dan AS, kerajaan tetap terbuka menerima sebarang cadangan untuk perbincangan pada masa depan,” katanya. 

-- BERNAMA