BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Empat Penerbangan Malaysia Airlines Ke London Terjejas Disebabkan Penutupan Lapangan Terbang Heathrow

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Empat penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke London terjejas akibat gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Heathrow London, United Kingdom kata Malaysia Aviation Group (MAG).

Lapangan terbang itu ditutup selepas kebakaran berlaku di stesen janakuasa elektrik berhampiran mengakibatkan bekalan elektrik terputus.

MAG berkata penerbangan Malaysia Airlines MH2 yang berlepas pada 20 Mac, jam 11:37 malam dari Kuala Lumpur ke London telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol Amsterdam di Belanda.

Pesawat yang membawa 246 penumpang dan 17 anak kapal itu selamat mendarat pada 6.19 pagi waktu tempatan Amsterdam.

"Penumpang ditempatkan di hotel berhampiran lapangan terbang, ada juga dipindahkan dalam penerbangan lain," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, penerbangan MH4 pada 21 Mac yang membawa 187 penumpang dan 17 anak kapal akan pulang ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba pada 3.30 petang waktu tempatan hari ini.

Penerbangan lain yang terjejas ialah penerbangan MH1 dan MH3 dari London ke Kuala Lumpur hari ini.

“Malaysia Airlines amat kesal atas kesulitan dan gangguan yang berlaku menyebabkan rancangan perjalanan penumpang kami terjejas.

"Keselamatan kekal sebagai keutamaan nombor satu kepada Malaysia Airlines," katanya.

Menurut laporan media, lapangan terbang London Heathrow akan ditutup sehingga tengah malam pada Jumaat kerana gangguan bekalan elektrik.

-- BERNAMA