BERITA TERKINI   Pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara TRX akan diteruskan seperti dirancang - Zulkifli | RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat | 1,059 kemalangan pendakian dengan 63 kes kematian direkodkan bagi tempoh 2021-2025 - Syed Ibrahim | RUU Persaingan (Pindaan) 2026 dan RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat | Unit Kerjaya Prospek peroleh kontrak bernilai RM488.40 juta di Pulau Pinang | 

MATRADE Sasar Peningkatan Nilai Eksport Barangan Lima Peratus Tahun Ini - Pengerusi

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) diberi sasaran bagi meningkatkan eksport barangan negara sebanyak lima peratus kepada RM1.58 trilion pada 2025.

Pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sasaran berkenaan disuarakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz susulan kejayaan agensi di bawah kementerian itu melepasi nilai eksport barangan sebanyak RM1.5 trilion pada tahun lepas.

"Alhamdulillah bila berakhirnya 2024, kita berjaya mencatat RM1.51 trilion, tambahan lebih kurang RM10 billion daripada sasaran sebenar. Ini satu lagi kejayaan yang amat menakjubkan.

"Membuka pintu 2025, kita melihat kemungkinan berdepan dengan beberapa cabaran antaranya ketidaktentuan dari segi ketegangan geopolitik, perang perdagangan yang sekarang dikatakan sebagai perang teknologi (tech war), ia bukan perang perdagangan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar MATRADE 2025 di sini malam ini. 

Menurut Reezal Merican, MATRADE akan merangka strategi baharu sepanjang tahun ini dalam mendepani keputusan yang dibuat oleh kuasa perdagangan global terutamanya dari Amerika Syarikat (AS). 

"Pada tahun ini, kita perlu melihat apa yang berlaku di AS, apa yang diambil keputusan di AS, kita perlu melihat strategi-strategi baharu. 

"Pihak MITI pun ada pemukiman bagi memikirkan khusus tentang perkara ini," katanya. 

-- BERNAMA