BERITA TERKINI   Polis buka kertas siasatan susulan laporan palsu kemangkatan Sultan Kelantan - Ketua Polis Kelantan | Kerajaan pertimbang wajibkan label ‘AI generated’ bagi kandungan digital di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian - Fahmi | Pihak berkuasa perlu siasat kesahihan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang tular - Fahmi | Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai dijangka dinaikkan esok atau lusa dengan bantuan TLDM dan APMM - Komander PGU  | Kemalangan helikopter: Lima mangsa termasuk dua di ICU Hospital Sultanah Aminah stabil - Komander PGU | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan pengumuman tarif AS yang akan datang pada 2 April dijangka lebih selektif dan bersasar berbanding yang dijangkakan pada awalnya.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata korelasi asas di sini adalah jelas: semakin agresif tarif yang dikenakan, semakin besar potensi kesan ekonomi dan ia meningkatkan kemungkinan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) lebih awal, yang seterusnya menyokong harga emas.

"Dengan nada tarif yang kelihatan lebih terkawal, sebahagian daripada momentum kenaikan dalam logam berharga itu semakin berkurangan, mencetuskan penurunan semula harga yang sederhana," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mac 2025 turun kepada US$3,031.80 setiap auns troy daripada US$3,034.20 setiap auns troy pada Jumaat, manakala April 2025 susut kepada US$3,041.70 setiap auns troy daripada US$3,044.10 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak Mei 2025, Jun 2025 dan Ogos 2025 semuanya menurun kepada US$3,051.70 setiap auns troy daripada US$3,054.10 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan merosot kepada lima lot daripada 17 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka susut kepada 73 kontrak daripada 87 kontrak sebelumnya.

Menurut penetapan oleh London Bullion Market Association pada 21 Mac, harga emas fizikal berada pada US$3,013.70 setiap auns troy.

-- BERNAMA