BERITA TERKINI   SEANWFZ: China menyatakan kemahuan menandatangani 'without reservation' - Menteri Luar Mohamad | ASEAN hargai kesediaan Negara Senjata Nuklear menyokong Protokol SEANWFZ - Mohamad Hasan | ASEAN perlu bertindak secara kolektif untuk mewujudkan keadaan yang membolehkan Negara Senjata Nuklear meratifikasi SEANWFZ - Mohamad Hasan | Menegakkan hak asasi manusia penting bagi membentuk ASEAN yang berdaya tahan, dinamik dan berpaksikan manusia - Mohamad Hasan | Mesyuarat AICHR diadakan hari ini sempena bermulanya fasa baharu di bawah Visi ASEAN 2045 - Mohamad Hasan | 

Mekanisme Penyasaran Subsidi RON95 Masih Diperhalusi, Sistem MyKad Dalam Pertimbangan - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 sedang diperhalusi yang akan melibatkan harga dua peringkat dengan kemungkinan menggunakan sistem MyKad, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata kerajaan tidak mahu membuat sebarang pra-pengumuman mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 pada masa ini dan dijangka mengumumkannya selepas separuh pertama tahun ini.

“Perkara paling penting yang kami ingin pastikan ialah sistem itu kukuh. Kami akan menggunakan harga dua peringkat: harga tidak bersubsidi dan harga bersubsidi.

“Lebih 85 peratus rakyat akan mendapat harga bersubsidi. Itulah pendekatan penyasaran subsidi di Malaysia,” katanya pada sidang media pada pelancaran sistem pembayaran terbuka RapidKL Atas Permintaan (On-Demand) Prasarana hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata sistem MyKad yang akan digunakan dalam penyarasan subsidi boleh berpandukan sistem yang digunakan dalam pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Buat masa ini, seramai 700,000 orang (menerima SARA) dan bermula minggu depan akan dinaikkan kepada 5.4 juta orang yang akan mendapat (SARA) dan mereka menggunakan MyKad.

“Terdapat lebih 3,500 kedai runcit dan pasar raya yang boleh menggunakan sistem MyKad untuk SARA. Oleh itu, kalau kita boleh menggunakan MyKad untuk 5.4 juta orang dengan 3,500 kedai, ia tidaklah berbeza jika kita menggunakannya untuk RON95 juga,” katanya. 

Pada masa ini, seramai 700,000 orang menerima SARA berjumlah RM50 hingga RM100 sebulan yang digunakan untuk membeli barang menggunakan sistem MyKad. 

-- BERNAMA