BERITA TERKINI   Pengalisis ekonomi Prof Madya Datuk Dr Madeline Berma meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pagi tadi - ahli keluarga | PRK DUN Lamag: Mohd Ismail Ayob dipilih calon wakili BN - Pengerusi UMNO Sabah | Ahmad Faizal Azumu umum letak jawatan Pengerusi PN Perak | Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | Datuk Dr Sahruddin Jamal umum letak jawatan Pengerusi PN Johor | 

Pasaran Getah Dijangka Rendah Minggu Depan

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Pasaran getah dijangka rendah minggu depan disebabkan cuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, menurut Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

“Harga akan terus menjejaki pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Bekalan getah asli akan menjadi terhad dengan bermulanya musim daun gugur dan hujan. Terdapat impak daripada keputusan mengenai tarif AS dan pertumbuhan ekonomi China yang lembap,” katanya kepada Bernama.

Seorang peniaga turut bersetuju bahawa terdapat kebimbangan mengenai bekalan getah asli berikutan bermulanya musim daun gugur dan cuaca hujan juga akan menjejaskan sentimen.

“Pemain pasaran akan memantau keputusan mengenai tarif AS dan pertumbuhan ekonomi China, selain krisis geopolitik yang meruncing,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot 5.5 sen kepada 874.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 17.5 sen kepada 671 sen sekilogram.

Pasaran Kuala Lumpur akan ditutup dari 31 Mac hingga 1 April 2025 sempena sambutan Aidilfitri dan  akan beroperasi semula pada 2 April 2025.

-- BERNAMA