BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Pengendali MTA, Takaful Gerakkan Bantuan Bagi Mangsa Kebakaran Saluran Gas

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) serta ahlinya yang juga pengendali takaful, menggembleng tenaga dalam menyalurkan sokongan dengan menggerakkan bantuan kecemasan kepada mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata pengendali takaful terbabit telah bertindak mengaktifkan protokol tindak balas bencana dengan pantas untuk memberi bantuan, bimbingan serta tuntutan segera kepada pemegang sijil serta komuniti sekitar yang terjejas.

Antara pendekatan penting dilaksanakan oleh industri takaful adalah aspek pemprosesan tuntutan secara pantas, prosedur tuntutan dipermudahkan dan selain bantuan di peringkat lapangan.

“Protokol kecemasan telah dilaksanakan di serata industri bagi mempercepat tuntutan kerosakan harta benda, kerugian bagi kenderaan, kecederaan diri serta kemasukan ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beberapa pengendali juga bertindak mengetepikan keperluan dokumen bukan utama bagi mempercepat tuntutan kerosakan harta benda susulan insiden itu.

“Para pemegang sijil juga digalakkan untuk menyerahkan dokumen sokongan dan berhubung terus dengan pasukan perkhidmatan pelanggan bagi mendapatkan panduan," katanya.

Mohd Radzuan pasukan penilaian tuntutan bergerak juga telah dikerah ke kawasan terjejas untuk membantu pemprosesan tuntutan selain memberi sokongan secara terus kepada mereka yang dipindahkan akibat kejadian itu.

Insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya di Selangor, semalam menyebabkan kecederaan serta memusnahkan rumah dan harta benda yang melibatkan 190 kediaman dan 159 kenderaan.

 

Garis Panduan Bantuan

Mohd Radzuan menasihatkan agar semua pemegang sijil yang terjejas untuk segera menghubungi pengendali takaful seperti Etiqa General Takaful Bhd, Syarikat Takaful Malaysia Am Bhd, Takaful Ikhlas General Bhd dan Zurich General Takaful Malaysia Bhd.

“Manfaatkan talian hotline, ejen atau aplikasi mudah alih rasmi penyedia takaful anda untuk memulakan usaha tuntutan atau mendapatkan bantuan," katanya.

Bagi kemudahan mereka, para pemegang polisi diminta menyediakan dokumen sokongan asas serta menghubungi pasukan respons mudah alih atau tampil ke pusat bantuan bagi mendapatkan bantuan secara terus.

Mohd Radzuan juga menggalakkan mangsa untuk menyemak status perlindungan serta butiran hubungan dan pelan yang dikemas kini bagi kelancaran pemprosesan dan sokongan berkaitan.

“Selain di peringkat pengendali, Pasukan Penjagaan Takaful4All di bawah MTA juga sedang giat meninjau peluang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan di Putra Heights dalam memberi sokongan kepada masyarakat.

“Tanggungjawab sosial korporat ini memaparkan lagi usaha industri yang lebih mendalam untuk meningkatkan komuniti yang melangkaui bantuan kewangan selain merangkumi nilai-nilai ihsan dan perkhidmatan," katanya.

-- BERNAMA