BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Ringgit Dibuka Rendah Susulan Dolar AS Meningkat Selepas Langkah Tarif Trump

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini apabila mata wang negara maju itu mengukuh selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan tarif timbal balas  global.

Pada 8 pagi, ringgit susut kepada 4.4515/4785 berbanding dolar AS daripada 4.4510/4565 semasa ditutup semalam.

Trump dilaporkan akan mengenakan tarif timbal balik, yang menyaksikan Rumah Putih mengeluarkan senarai kira-kira 100 negara dan kadar tarif masing-masing yang akan dikenakan oleh AS termasuk Malaysia.

Malaysia akan berdepan tarif timbal balik oleh AS sebanyak 24 peratus berkuat kuasa 9 April.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran mata wang akan menjadi lebih defensif berikutan kebimbangan mengenai tarif AS, dan kesannya terhadap pertumbuhan global akan menyebabkan permintaan yang lebih tinggi kepada mata wang selamat seperti dolar AS.

“Mungkin terdapat kebaikan mengenainya tetapi ini boleh menjejaskan perdagangan dan pertumbuhan ekonomi global.

“Kami berpandangan platform terbaik adalah melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk menjadi pengantara dalam sebarang pertikaian perdagangan,” katanya kepada Bernama sambil memaklumkan ringgit mungkin melepasi paras rintangan segera RM4.45.

Ringgit didagangkan rendah berbanding mata wang utama.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.0086/0272 daripada 2.9783/9821 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.8530/8825 daripada 4.8098/8157 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.8061/8413 daripada 5.7632/7703 semalam.

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9608/13.0489 daripada 13.0260/0490 dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.3067/3270 daripada 3.3150/3193.

Bagaimanapun, ia tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 266.3/268.0 daripada 266.3/266.7 dan turut tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.78/7.83 daripada 7.78/7.79 sebelum ini.

-- BERNAMA