BERITA TERKINI   Kerja pembaikan, penstabilan Sistem Autogate masih berjalan untuk pastikan ia kembali beroperasi pada kapasiti optimum - AKPS | Sistem Autogate untuk pelawat asing mula beoperasi secara beperingkat - AKPS | ⁠Pelajar institusi pondok perlu dalami ilmu TVET untuk kuasai bidang digital dan teknologi - PM Anwar | Umat Islam perlu pertahan legasi keilmuwan Islam, perkukuh hubungan antara ulama dan umarak - PM Anwar | 

Negara ASEAN Perlu Runding Tarif AS Secara Kolektif, Kata Pakar

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Kalangan negara ASEAN perlu berunding dengan Amerika Syarikat (AS) secara kolektif berkenaan dasar tarif terkini, kata pakar.

Profesor Madya Dr Khoo Ying Hooi daripada Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya berkata sekiranya negara Asia Tenggara mengambil langkah berunding secara individu, tindakan itu boleh menjejaskan kedudukan ekonomi serantau yang selama ini dibina bersama.

“Sebagai pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berada pada posisi yang penting untuk memimpin perbincangan mengenai respons strategik terhadap cabaran global seperti ini.

“Langkah itu akan lebih berkesan sekiranya Malaysia dapat menyatukan kesemua 10 negara ASEAN untuk melakukan rundingan secara kolektif,” katanya semasa program ‘ASEAN Petang Ini’ bertemakan ‘Krisis Tarif AS-ASEAN: Persaingan Atau Sinergi’ terbitan Bernama TV hari ini.

Khoo berkata kekuatan dalaman rantau ini perlu diperkukuhkan bagi memastikan ASEAN kekal relevan dalam landskap ekonomi dunia.

“Tahun ini slogan ASEAN adalah Keterangkuman dan Kemampanan, dan saya rasa memperkukuh daya tahan dalaman itu sangat penting,” katanya. 

Merujuk kepada keputusan AS menaikkan tarif, beliau berkata perdagangan kini digunakan bukan hanya untuk tujuan perniagaan atau ekonomi, malah juga untuk mempertahankan kepentingan nasional dan strategi sesebuah negara.

“Saya rasa nanti ada mesyuarat khas dalam kalangan pegawai tertinggi kerajaan mengenai isu tarif, dan yang penting adalah cara kita sebagai rantau bertindak secara bersama,” katanya.

-- BERNAMA