BERITA TERKINI   Kerajaan Johor pantau keadaan jambatan, jalan raya, empangan serta fasiliti utama susulan gempa bumi lemah di Segamat - Exco | Malaysia dan Brunei menggalakkan Petronas dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam untuk memajukan projek bersama dan merealisasikan potensi penuhnya dalam jangka masa yang dipersetujui bersama - Kenyataan Bersama | Malaysia dan Brunei akan memanfaatkan sumber bersama dan kelebihan geografi Borneo untuk memperkukuh keterjaminan makanan dan tenaga, membina rantaian bekalan berdaya tahan serta mewujudkan peluang mampan untuk rakyat - Kenyataan Bersama | Malaysia dan Brunei komited untuk memajukan inisiatif strategik dalam bidang tenaga, kesalinghubungan, pertanian, pelancongan dan industri halal secara bersama - Kenyataan Bersama | Malaysia dan Brunei menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama di bawah pelbagai mekanisme keselamatan dan pertahanan yang diterajui ASEAN | 

Trajektori Kecerdasan Buatan Berkembang Pantas, Berisiko Tingkatkan Jurang - PM Anwar

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran trajektori kecerdasan buatan (AI) sedang berkembang sepantas kilat dan jika kemajuan digital yang tidak seimbang ini dibiarkan tanpa kawalan, ia berisiko memperdalam jurang yang sedia ada dan meningkatkan ketidaksamaan.

Justeru, dalam hal ini, Perdana Menteri berkata pelaburan dalam literasi digital, infrastruktur, pemerkasaan dan tadbir urus perlu bergerak seiring.

Anwar berkata ekonomi digital adalah bidang yang menjanjikan prospek yang baik namun dalam masa yang sama membawa ketidaksamaan yang ketara dan walaupun transformasi digital di rantau ini sedang berjalan lancar, ia masih tidak sekata.

Beliau berkata demikian menerusi ucaptama pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025, yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan ASEAN perlu meneruskan integrasi ekonomi yang lebih besar di rantau ini, termasuk memperluaskan ketersambungan pembayaran ASEAN.

Beliau berkata rantau ini kini menikmati ketersambungan pembayaran digital antara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Hari ini nanti, kita akan melancarkan lanjutan hubungan pembayaran antara Malaysia dan Kemboja, dengan sasaran untuk meliputi semua negara ASEAN yang akan membantu menggalakkan perdagangan dan pelancongan intra-ASEAN,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar merasmikan Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

-- BERNAMA