Niaga Hadapan MSM Ditutup Sedikit Tinggi

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi sedikit, selepas mencatatkan kenaikan awal susulan laporan Indonesia menyemak semula levi eksport, menjadikan minyak sawit Malaysia kurang kompetitif, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Katanya, permintaan eksport yang lemah juga memberi tekanan kepada harga MSM.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,100 dan paras rintangan pada RM4,350,” katanya kepada Bernama.

Ketika ditutup, kontrak April 2025 dan Mei 2025 masing-masing naik RM2 kepada RM4,564 dan RM4,340 setan, manakala Jun 2025 meningkat RM3 kepada RM4,188.

Kontrak Julai 2025 menambah RM7 kepada RM4,101 setan, manakala Ogos 2025 dan September 2025 masing-masing menokok RM16 kepada RM4,058 dan RM4,039.

Jumlah dagangan melonjak kepada 122,240 lot daripada 110,726 lot ketika ditutup pada Isnin, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 252,515 kontrak daripada 253,375 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi April Selatan kekal tidak berubah pada RM4,650 setan.

-- BERNAMA