BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Muzium Dan Galeri Seni BNM Anjur Pameran Raikan Budaya, Mata Wang ASEAN

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) menganjurkan dua pameran baharu ‘Numismatic Marvel: Minted History, Printed Heritage' dan 'Palette and Pen' bersempena dengan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata kedua-dua pameran yang dianjurkan itu seiring dengan semangat komuniti ASEAN.

“Walaupun berbeza (antara satu sama lain), saya percaya kedua-dua pameran itu menampilkan dialog yang menarik antara seni, kesusasteraan dan mata wang, kedua-duanya menonjolkan kepentingan pengalaman ASEAN yang kita kongsi bersama,” katanya menerusi ucapan beliau selepas merasmikan pameran tersebut di Sasana Kijang, hari ini.

Pameran pertama ‘Numismatic Marvels, Minted History, Printed Heritage’ mempamerkan tentang kisah penurunan ekonomi dan kedaulatan negara-negara ASEAN menerusi lensa mata wang, katanya.

“Pameran itu menceritakan bagaimana kita pada ketika itu, mengeluarkan mata wang kita sendiri sebagai tanda kemerdekaan kita dan keupayaan berkerajaan sendiri, bebas serta merdeka.

“Hari ini, mata wang kita mencerminkan bukan sahaja sejarah negara dan warisan budaya kita, tetapi juga aspirasi kita untuk masa depan,” katanya.

Abdul Rasheed berkata walaupun peranan mata wang kini berkembang kepada pembayaran digital namun wang kertas dan syiling akan sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam hati, kenangan dan sejarah setiap orang.

Sementara itu, pameran kedua 'Palette and Pen', meneroka interaksi dinamik antara seni dan sastera, menampilkan lebih 150 karya seni dari Malaysia dan ASEAN.

Ia dibahagikan kepada tiga bahagian, 'He, the Color and the Word', 'Inspired by Words' dan 'Letters from ASEAN'.

Pengunjung akan berpeluang melihat teks puisi yang digabungkan dengan bentuk visual, muzik, filem dan ilustrasi yang mengadaptasi karya sastera.

Kedua-dua pameran itu menyerlahkan dedikasi BNM MAG untuk memupuk dialog dan persefahaman budaya dalam ASEAN dan mempamerkan kepada pengunjung kepelbagaian budaya rantau ini.

Kedua-dua pameran itu akan dibuka kepada orang ramai dari 10 April hingga 12 Okt 2025.

-- BERNAMA