BERITA TERKINI   RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | 

Agrobank Sasar 18 Cawangannya Guna Tenaga Solar Sehingga Akhir Tahun Ini

BAGAN SERAI, 10 April (Bernama) -- Agrobank menyasarkan 18 cawangannya menggunakan tenaga solar sehingga akhir tahun ini, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Beliau berkata pihaknya turut menyasarkan 50 cawangan lagi akan menggunakan teknologi hijau pada tahun depan. 

"Kita sudah bersedia menyahut saranan kerajaan untuk melestarikan alam melalui penggunaan dan amalan teknologi hijau dan 138 cawangan lagi kita sudah kenal pasti akan menggunakan tenaga solar dalam tempoh lima tahun akan datang. 

"Langkah itu seiring dengan komitmen Agrobank untuk mengurangkan kesan terhadap perubahan iklim serta mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Cawangan Hijau Pertama Agrobank Bagan Serai yang disempurnakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. 

Tengku Ahmad Badli Shah menambah, cawangan Bagan Serai dipasang 40 panel solar dengan kos RM45,000 dan ia mampu menjana tenaga sebanyak 20 kilowat peak (kWp) dengan purata 2,400 per kilowat-jam (kWh) elektrik setiap bulan. 

"Selain dilengkapi dengan sistem solar, cawangan ini juga mempunyai pengumpulan air hujan 350 liter untuk kegunaan am dan landskap, sistem penyejukan cekap tenaga serta sistem pencahayaan diod pemancar cahaya (LED) yang direka untuk mengurangkan penggunaan tenaga.

"Melalui inisiatif ini ia dapat mengurangkan bil elektrik dan air bulanan sebanyak 45 peratus dengan anggaran purata penjimatan bil tenaga elektrik sebanyak RM1,530.90 sebulan," katanya. 

Selain itu, katanya penggunaan teknologi hijau mampu mengurangkan kesan terhadap perubahan iklim serta mencapai pelepasan karbon dioksida pada kadar 1.91 tan sebulan. 

Terdahulu Agrobank turut menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM80,988 kepada sepuluh masjid dan surau di kawasan Bagan Serai selain menyerahkan manfaat perlindungan takaful berjumlah RM665,000 kepada tiga waris. 

-- BERNAMA