BERITA TERKINI   KLFA perkukuh kerjasama dengan KBS dalam pembangunan jurulatih dan program belia - Fahmi | KLFA sedang kukuh kerjasama dengan KPM dalam memperkasa bola sepak di peringkat sekolah - Fahmi | PM Anwar umum dana RM1 juta kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur | Tiga ladang ternakan babi di Tasek Gelugor, Pulau Pinang disahkan positif penyakit demam babi Afrika - Pengarah JPV Negeri | 

Tarif Timbal Balas AS Boleh Jejas Hubungan Dagang Malaysia-China - PM Anwar

BACHOK, 12 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan tarif import timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa negara termasuk Malaysia boleh menjejaskan hubungan perdagangan dan pelaburan negara dengan China.

Beliau berkata langkah AS mengenakan tarif dan cukai import yang tinggi memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi China malah turut memberi kesan kepada Malaysia walaupun kita dikecualikan daripada pelaksanaan tarif itu untuk sementara waktu.

"Apabila tarif tinggi dikenakan kepada China, ia secara tidak langsung turut menjejaskan hubungan perdagangan dan pelaburan kita dengan negara tersebut,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama di sini hari ini.

Menurut beliau, sebagai sebuah negara perdagangan dan pengeksport, Malaysia amat terdedah kepada sebarang ketidaktentuan dalam dasar perdagangan global.

“Kita ini merupakan negara eksport dan dagang. Apabila AS menetapkan tarif tinggi terhadap China, sudah tentu kita juga akan terkesan.

“Mujurlah AS menangguhkan pelaksanaan tarif tersebut terhadap beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia buat sementara waktu. Namun, China tetap dikenakan tarif itu,” katanya.

Presiden AS Donald Trump pada 2 April lepas mengumumkan negara itu akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.

-- BERNAMA