BERITA TERKINI   RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | 

Sarawak Perlu Kaji Semula Rancangan Pembangunannya Ekoran Tarif AS - Abang Johari

KUCHING, 14 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak perlu mengkaji semula rancangan pembangunannya supaya dapat disesuaikan dengan ketidaktentuan global pada masa ini susulan pelan pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS).

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri ini secara tidak langsung terjejas dengan senario tersebut berikutan ia boleh mempengaruhi harga minyak dan komoditi yang dihasilkan di Sarawak.

“Hari ini, harga minyak kira-kira US$65 setong walaupun kita menjangka ia berada antara US$85 dan US$90 (setong).

“Oleh itu, ada impak terhadap kita. Impaknya ialah mungkin menjejaskan pendapatan kita dan keduanya, tidak ada hala tuju yang jelas dalam dasar perdagangan antara negara maju dan negara membangun.

“Sebab itulah, mahu tak mahu kita mengambil perhatian dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini,” katanya dalam ucapan pada Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Premier Sarawak di sini hari ini.

Menurutnya, Sarawak mempunyai kelebihan terutamanya dalam penyediaan tenaga termasuk tenaga hijau dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global selain telah diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia sebagai satu pusat pembangunan baharu.

Abang Johari berkata kelebihan yang dimiliki oleh Sarawak ini perlu digabungkan dengan perkhidmatan awam yang bersedia menjadi jentera kerajaan yang berkesan untuk bersama-sama kepimpinan negeri bagi menyesuaikan dengan perubahan yang berlaku sekarang.

Katanya persiapan ini turut berkaitan dengan pelaksanaan program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan Sarawak akan menumpukan kepada beberapa pembangunan industri termasuk infrastruktur, pengilangan, pendigitalan dan makanan.

“Saya meminta agensi yang menyelaraskan pelaksanaan projek untuk turun padang. Selagi projek itu telah diumumkan oleh saya dan rakan-rakan dalam Kabinet serta telah memberikan peruntukan, ia mesti dilaksanakan dengan cepat.

“Untuk melaksanakan ini, kita meminta kerjasama erat antara perkhidmatan awam dan kita (kepimpinan Sarawak) supaya negeri kita lebih maju,” katanya.

-- BERNAMA