BERITA TERKINI   Kerjasama itu membuka ruang penglibatan lebih strategik pada masa depan termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan, antara pemilik rizab gas terbesar dunia - PMO | PM Anwar, Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini saksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan - PMO | Pencapaian ini hadir sempena 30 tahun kerjasama Malaysia, Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara - PMO | Kerjasama strategik antara Petronas, pihak berkuasa Turkmenistan buka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan - PMO | Ahli Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) negeri terima sumbangan RM10,000, GKMM terima RM30,000 - Fahmi | 

Visi Tun Abdullah Jadikan Malaysia Peneraju Industri Halal Global Masa Kini

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Visi Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam merealisasikan industri halal sebagai sumber ekonomi negara menjadikan Malaysia sebagai peneraju industri halal global sehingga masa kini, menurut Halal Development Corporation (HDC).

Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata Perdana Menteri kelima itu merupakan tokoh penting yang mencadangkan dan mencetuskan idea penubuhan HDC pada 2006 serta memainkan peranan ketara dalam memajukan industri halal di Malaysia.

“Dengan berat hati dan penuh dukacita, seluruh ahli lembaga pengarah, pengurusan dan warga kerja HDC mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Tun Abdullah.

“Kami amat menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam mengembangkan ekonomi halal negara. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Abdullah atau lebih dikenali sebagai "Pak Lah", menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 7.10 malam, Isnin.

 Dalam pada itu, Khairul Azwan berkata, HDC akan terus memperjuangkan visi Abdullah bagi memantapkan Malaysia sebagai pusat halal global. ‎

HDC yang ditubuhkan pada 18 Sept, 2006 merupakan peneraju utama kepada pembangunan ekosistem dan infrastruktur halal yang bersepadu dan komprehensif serta kini berada di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).

Abdullah yang mengumumkan penubuhan HDC sewaktu Forum Halal Sedunia pada 2006, mewujudkan satu platform khas bagi membolehkan negara muncul sebagai peneraju industri tersebut dalam landskap global bersandarkan kekuatan Malaysia, terutamanya dalam pensijilan halal.

-- BERNAMA