BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Bank Rakyat Lantik Ahmad Shahril Sebagai CEO Baharu

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bank Rakyat melantik Ahmad Shahril Mohd Shariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 9 April 2025.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan itu adalah berdasarkan komitmen dan dedikasi tinggi yang ditunjukkan beliau sepanjang menggalas tugas sebagai pemangku CEO sejak 9 Nov 2024.

"Ahmad Shahril yang mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam industri perbankan dan kewangan termasuk di Bank Negara Malaysia dan institusi perbankan tanah air merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Perakaunan University of Salford, United Kingdom serta Ahli Bertauliah di Chartered Institute of Islamic Finance.

“Kementerian amat yakin beliau mampu mengemudi serta menggalas segala tugas diamanahkan sebaik mungkin, khususnya untuk meningkatkan kesejahteraan anggota dan pihak berkepentingan, memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi di samping menyokong inisiatif inklusiviti kewangan selaras aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata lembaga pengarah, jawatankuasa pengurusan serta seluruh warga kerja Bank Rakyat mengalu-alukan pelantikan Ahmad Shahril sebagai CEO.

“Kami positif dan optimistik bahawa Bank Rakyat di bawah kepemimpinan beliau akan mengekalkan mandatnya untuk membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara dan sosioekonomi masyarakat sebagai institusi kewangan pembangunan progresif dan berdaya saing, berteraskan nilai Islam serta kemampanan melalui pelan strategik lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25),” katanya.

-- BERNAMA