BERITA TERKINI   Pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara TRX akan diteruskan seperti dirancang - Zulkifli | RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat | 1,059 kemalangan pendakian dengan 63 kes kematian direkodkan bagi tempoh 2021-2025 - Syed Ibrahim | RUU Persaingan (Pindaan) 2026 dan RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat | Unit Kerjaya Prospek peroleh kontrak bernilai RM488.40 juta di Pulau Pinang | 

Tarif AS: Sapura Industrial Masih Tidak Terkesan Buat Masa Ini, Pantau Impak Tidak Langsung

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Sapura Industrial Bhd (SIB) secara keseluruhannya masih tidak terkesan buat masa ini daripada potensi pendedahan kepada tarif Amerika Syarikat dan terus memantau kesan tidak langsungnya terhadap pelanggan dan permintaan pasaran eksport.

Pengarah Urusannya Datuk Syed Izuan Syed Kamarulbahrin berkata walaupun tidak terjejas secara langsung dengan pelaksanaan tarif ini, syarikat sedang menilai dengan teliti kesan berantai kepada pelanggan.

"Pasaran seperti China sedang melibatkan kami secara aktif, dan kami mempunyai pasukan khusus yang meneliti bagaimana SIB boleh menyertai wilayah yang mengalami cabaran sedemikian," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran identiti korporat baharu kumpulan itu di sini hari ini.

Beliau berkata SIB mendapati terdapat peluang di pasaran yang terjejas akibat pertikaian tarif terutamanya dalam penyetempatan rantaian bekalan bagi pengeluar peralatan asal (OEM) asing yang beroperasi di Malaysia.

"Kami tidak merasakan pemain China sebagai persaingan. Hakikatnya, lebih banyak OEM asing bermakna permintaan yang lebih tinggi bagi komponen yang sumbernya daripada dalam negara.

"Komponen kami -- terutamanya yang kritikal untuk keselamatan -- kekal mendapat permintaan yang kukuh tanpa mengambil kira jenama kereta asal," katanya.

Dengan jumlah keseluruhan industri di Malaysia yang mencecah 800,000 kenderaan tahun lepas, SIB kekal optimistik bahawa permintaan terhadap komponen keseluruhan akan kekal kukuh walaupun unjuran jualan yang lemah sedikit tahun ini, kata Syed Izuan.

-- BERNAMA