BERITA TERKINI   Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | Keuntungan Tahun Kewangan 2025 Sime Darby turun 37.7 peratus kepada RM2.06 bilion berikutan tiada sumbangan daripada keuntungan jualan segmen penjagaan kesihatan | Dua maut, lima cedera dalam kebakaran rumah di Batu 36, Jalan Pontian, Johor pagi tadi - Bomba | Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia - FAM | Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dinamakan Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta - FAM | 

Bank Rakyat Umum Dividen 17 Peratus Bagi Tahun Kewangan 2024, Raih Keuntungan RM1.82 Bilion

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 17 peratus berjumlah RM486.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.

Dividen ini akan memanfaatkan sejumlah 773,859 anggota yang akan mula dibayar bermula hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata bank itu mengekalkan pembayaran dividen dua digit sejak 20 tahun lepas.

“Saya yakin pencapaian ini adalah hasil komitmen Bank Rakyat untuk memenuhi mandat dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggan di samping memberikan keadilan dan kemakmuran merentasi semua lapisan masyarakat,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata bank itu mencatatkan peningkatan sebanyak 3.15 peratus tahun ke tahun dalam keuntungan sebelum cukai dan zakat kepada RM1.82 bilion daripada RM1.76 bilion pada tahun kewangan 2023.

“Ini telah dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras, didorong oleh keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik. Faktor ini membolehkan bank ini untuk kekal berdaya tahan meskipun dalam ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan yang semakin mencabar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat yang baru dilantik Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata bank ini menyasarkan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dengan menyasarkan pasaran bukan bumiputera.

"Kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi untuk meneroka segmen ini. Kami telah melancarkan beberapa program terutamanya untuk komuniti India dan banyak lagi yang akan dilaksanakan.

"Paling penting, kami bekerjasama dengan pemain utama untuk membantu kami menjangkau pasaran ini. Walaupun kami telah terlibat dengan segmen ini sebelum ini, kami kini menggiatkan usaha, terutamanya memandangkan majoriti pendeposit kami bukan bumiputera, yang menyumbang kepada asas pelanggan sedia ada yang kukuh," katanya.

-- BERNAMA