BERITA TERKINI   MB Johor nafi desas-desus pembubaran DUN berlaku hari ini | Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar US

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US hari ini, disokong oleh kelemahan mata wang Amerika Syarikat (AS) dalam persekitaran ketidaktentuan disebabkan perang perdagangan dan ketegangan akibat tarif AS, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4085/4136 berbanding dolar US 4.4100/4155 ketika ditutup pada Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata peniaga terus membuat pertaruhan terhadap kekuatan dolar US kerana mereka masih ragu-ragu mengenai strategi Rumah Putih untuk mengendalikan perang perdagangan dan ketidaktentuan tarif.

"Hala tuju perang perdagangan ini tidak jelas...tiada pengakhiran dapat dilihat ketika ini. Ini mewujudkan ketidaktentuan terhadap aset AS dan dolar US menanggung kesannya," katanya kepada Bernama.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga tidak lagi beralih kepada mata wang selamat walaupun ketidaktentuan berterusan terhadap dasar tarif Donald Trump.

“Selain itu, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.74 kepada 99.479 mata kerana kesemua enam komponen itu telah meningkat dengan ketara berbanding dolar US,” katanya.

Mengenai mata wang Asia, Innes berkata bahawa mata wang tempatan menjejaki yuan China dengan pasaran tertumpu pada penetapan harian People’s Bank of China untuk sebarang petunjuk bahawa Beijing mungkin menggunakan mata wang itu sebagai alat dalam menghadapi ketegangan perdagangan.

"Ini telah memberi tekanan kepada ringgit hari ini kerana pelabur di rantau ini kekal berhati-hati terhadap susut nilai yuan secara beransur-ansur, bimbang ia boleh mencetuskan tindak balas rantaian penurunan nilai kompetitif," katanya.

Pada penutupan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan jatuh berbanding euro kepada 5.0072/0129 daripada 4.9996/5.0059 ketika ditutup pada Selasa, merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0861/0898 daripada 3.0852/0895 semalam dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.8488/8554 daripada 5.8366/8439 sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 261.8/262.2 daripada 262.0/262.5 ketika ditutup pada Selasa dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.76/7.78.

Bagaimanapun, ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3537/3578 daripada 3.3498/3545 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 13.2547/2773 daripada 13.1461/1708 sebelum itu.

-- BERNAMA