BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

Pasaran Getah Meneruskan Aliran Menurun

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia terus ditutup lebih rendah hari ini, diseret oleh kerugian dalam pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan kebimbangan keadaan perang perdagangan yang semakin memuncak, kata seorang peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun merosot pada Rabu disebabkan ketidakpastian terhadap tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump dan potensi impaknya terhadap ekonomi global.

"Bagaimanapun, kerugian selanjutnya telah dihadkan oleh keyakinan untuk lebih banyak rangsangan dari China di tengah-tengah data ekonomi China yang lebih baik daripada jangkaan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga tersebut melaporkan bahawa ekonomi China meningkat lebih daripada jangkaan pada suku pertama 2025, dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) naik 5.4 peratus dari tahun ke tahun. 

Beliau berkata pengeluaran perindustrian China melonjak 7.7 peratus dari tahun ke tahun pada Mac, melangkaui jangkaan bahawa ia akan tetap stabil pada 5.9 peratus, seperti yang dilihat dalam tempoh Januari-Februari.

"Jualan runcit Mac, China, yang merupakan pengukur utama penggunaan, menokok 5.9 peratus, mengatasi jangkaan pertumbuhan 4.2 peratus," katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga SMR 20 jatuh sebanyak 18 sen kepada 739.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 5.5 sen kepada 649 sen sekilogram.

-- BERNAMA