BERITA TERKINI   ASEAN perlu tumpu usaha pastikan Asia Tenggara bersedia hadapi masa hadapanĀ - Mohamad Hasan | ASEAN telah mencapai kedudukan cemerlang dan mendapat penghormatan di pentas antarabangsa - PM Anwar | AMM ke-58: PM Anwar terima kunjungan hormat daripada Menteri-Menteri Luar, Setiausaha Agung ASEAN | PMCK Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22.5 sen, naik setengah sen daripada harga IPO dengan 14.39 juta saham didagangkan | 

Malaysia, China Akan Perkukuh Perdagangan, Kerjasama Taman Perindustrian Dan Ekonomi Digital

 

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Malaysia dan China memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) yang berpotensi meningkatkan perdagangan dalam perkhidmatan dan kerjasama perindustrian yang akan memperkukuhkan lagi hubungan ekonomi.

Kedua-dua negara yang menikmati hubungan perdagangan dan pelaburan yang rancak menandatangani beberapa MOU termasuk kerjasama perdagangan dalam perkhidmatan serta menaik taraf inisiatif 'Dua Negara, Taman Berkembar' China-Malaysia.

MoU juga dimeterai bagi kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.

Terdapat juga MOU kerjasama antara Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran (Pentadbiran Standardisasi) China dan Jabatan Standard Malaysia mengenai kerjasama penyeragaman.

Ini merupakan antara MOU dan dokumen yang dimeterai yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China Xi Jinping hari ini, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan China Wang Wengtao masing-masing mewakili Malaysia dan China dalam pertukaran dokumen berkaitan perdagangan perkhidmatan, taman berkembar dan penstandardan.

Taman berkembar itu berkaitan dengan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia di China, yang telah menjadi model kerjasama rentas sempadan moden.

MoU lain yang dimeterai termasuklah antara Kementerian Digital Malaysia dan National Development and Reform Commission (NDRC) China mengenai AI serta Kementerian Digital Malaysia dan National Development and Reform Commission (NDRC) China bagi Ekonomi Digital yang ditandatangani antara menteri digital Malaysia Gobind Singh Deo dan pengerusi NRDC Zheng Shanjie.

Majlis itu diadakan di Kompleks Seri Perdana di sini, petang tadi, sempena lawatan negara tiga hari Xi ke Malaysia yang bermula semalam.

-- BERNAMA