BERITA TERKINI   Kerajaan pertimbang wajibkan label ‘AI generated’ bagi kandungan digital di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian - Fahmi | Pihak berkuasa perlu siasat kesahihan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang tular - Fahmi | Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai dijangka dinaikkan esok atau lusa dengan bantuan TLDM dan APMM - Komander PGU  | Kemalangan helikopter: Lima mangsa termasuk dua di ICU Hospital Sultanah Aminah stabil - Komander PGU | KPT pantau aktiviti berkaitan militan IS dalam kalangan pelajar IPT - Zambry | 

Malaysia-China Perkukuh Kerjasama Bangunkan Industri Kereta Api

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Malaysia dan China bersetuju untuk memperkukuh serta memajukan industri kereta api melalui kerjasama menyeluruh, merangkumi pembangunan industri rel, perkongsian amalan terbaik serta pelaksanaan projek bersama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan bahawa kerjasama itu dimeterai menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pentadbiran Kereta Api Negara China dan MOT mengenai Pengukuhan Kerjasama dalam Sektor Kereta Api.

Pemeteraian MoU antara Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, yang berlangsung semalam, disaksikan oleh Perdana Menter Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping.

“Antara bidang kerjasama utama yang dipersetujui termasuk pembangunan industri rel, perkongsian amalan terbaik, pelaksanaan projek bersama, penganjuran program latihan dan persidangan, serta pertukaran lawatan rasmi antara pegawai dan pakar.

“Usaha ini membuka ruang kepada pemindahan teknologi, pelaburan dalam sistem pengangkutan awam dan peningkatan kecekapan operasi rel di Malaysia. Ia juga dijangka menyokong agenda pembangunan mampan melalui penyediaan sistem pengangkutan mesra alam dan berdaya saing tinggi,” menurut kenyataan itu.

MOT memaklumkan kerjasama ini sejajar dengan aspirasi kementerian untuk memperkasa jaringan pengangkutan negara, seterusnya meningkatkan kesalinghubungan domestik dan serantau yang akan membawa limpahan kemakmuran pada aspek kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya.

“China, sebagai rakan dagang dan pelabur utama dalam projek-projek infrastruktur, dilihat mampu memainkan peranan strategik dalam membantu Malaysia membina ekosistem pengangkutan yang efisien, inklusif dan berorientasikan masa depan,” menurut kenyataan itu. 

Sebanyak 31 MoU dan nota pertukaran dimeterai antara kementerian dan agensi kedua-dua negara semalam menandakan komitmen mendalam untuk memperkukuh kerjasama dua hala yang membawa kepentingan strategik khususnya dalam pembangunan infrastruktur dan sistem pengangkutan moden.

-- BERNAMA