BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Tengku Zafrul Bertemu Wakil Perdagangan AS, Pegawai Di Washington Pada 24 April

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadualkan bertemu Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer dan pegawai lain yang berkaitan di Washington pada 24 April, untuk membincangkan tarif balas yang telah dikenakan ke atas Malaysia.

“Kami akan bertemu USTR dan pegawai kerajaan lain daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam lawatan saya selama dua hari,” katanya.

Delegasi Malaysia juga akan mengambil peluang untuk bertemu beberapa dewan perniagaan, syarikat dan kumpulan berkepentingan bagi menerangkan pendirian dan situasi negara serta maklum balas yang diterima daripada Kabinet, kata Tengku Zafrul dalam taklimat media baru-baru ini.

“Kami perlu ke sana untuk menjelaskan bagaimana Malaysia, sebuah negara neutral memainkan peranan penting dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik. Matlamat kami untuk menunjukkan bahawa Malaysia boleh menyokong industri di AS berbanding memberi ancaman kepada mereka,” katanya.

Beliau akan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Mastura Ahmad Mustafa serta pegawai lain dari kementerian. 

Wakil MITI di Kedutaan Malaysia di Washington akan menyertai delegasi itu. 

Tengku Zafrul menjelaskan perjalanan itu bukan untuk rundingan tetapi perbincangan.

“Kami tidak pergi ke sana untuk membincangkan butiran rundingan. Rundingan mengambil masa, bukan? Oleh itu, ia lebih kepada berbincang mengenai bagaimana Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan antara Asia dan AS,” katanya.

Walaupun lawatan ini untuk Malaysia, Tengku Zafrul berkata beliau juga akan mengambil peluang untuk menyatakan pendirian ASEAN mengenai isu tarif tersebut terutamanya hasil daripada mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN.

“Berdasarkan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, saya juga akan menjelaskan pendirian ASEAN iaitu kami mempercayai sistem perdagangan global berasaskan peraturan, merupakan prinsip multilateralisme  dalam perdagangan,” katanya.

ASEAN dan Malaysia telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan mengambil sebarang tindakan balas.

“Kami juga ingin menerangkan kepada AS bahawa ramai di antara kami, termasuk ASEAN sendiri, tidak berasakan (dakwaan) bahawa kami telah mengenakan tarif yang begitu tinggi ke atas produk AS. Kami ingin memperbetul beberapa pandangan yang salah,” katanya.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas itu pada 10 April, para menteri berkata ASEAN akan terlibat dalam dialog yang jujur dan konstruktif dengan AS untuk menangani kebimbangan berkaitan perdagangan.

Para menteri berkata ASEAN kekal komited untuk melindungi kepentingan ekonomi blok ini serta mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh dan saling memberi manfaat dengan AS.

Negara anggota Indo-China ASEAN merupakan yang paling teruk terkesan ekoran tarif ini, dengan Kemboja menghadapi gabungan tarif asas dan tarif balas sebanyak 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).

Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia, masing-masing 24 peratus, Filipina 17 peratus manakala Singapura dengan tarif asas 10 peratus.

Tarif balas tersebut kini dalam tempoh penangguhan selama 90 hari, kecuali bagi China.

-- BERNAMA