BERITA TERKINI   Keuntungan Tahun Kewangan 2025 Sime Darby turun 37.7 peratus kepada RM2.06 bilion berikutan tiada sumbangan daripada keuntungan jualan segmen penjagaan kesihatan | Dua maut, lima cedera dalam kebakaran rumah di Batu 36, Jalan Pontian, Johor pagi tadi - Bomba | Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia - FAM | Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dinamakan Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta - FAM | Gempa bumi lemah 3.2 magnitud di Segamat pagi ini susulan kejadian gempa di daerah sama 24 Ogos lalu - KP MetMalaysia | 

Bank Muamalat Ejen Pertama ASNB Jadi Saluran Pengedaran Wakaf ASNB

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd menjadi ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pertama menjalin kerjasama strategik sebagai saluran pengedaran untuk perkhidmatan Wakaf ASNB.

Menurut bank itu dalam kenyataan, pemegang unit ASNB kini boleh membuat sumbangan Wakaf ASNB dengan mudah melalui cawangan terdekat Bank Muamalat di seluruh negara bermula semalam.

Katanya inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan ketercapaian tetapi juga mengukuhkan komitmen Bank Muamalat dan ASNB dalam menyediakan perkhidmatan wakaf yang telus dan efektif.

“Wakaf ASNB membolehkan pemegang unit mewakafkan unit amanah ASNB mereka iaitu dana tersebut akan kekal sebagai pelaburan pokok dan pulangannya akan disalurkan kepada projek wakaf untuk pembangunan masyarakat dan ummah.

“Perkhidmatan ini diuruskan oleh ASNB Wakalah Sdn Bhd, institusi pengurusan wakaf yang bertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir dana wakaf secara menyeluruh bermula daripada mengumpul dana sehingga menguruskan agihan dana manfaat wakaf kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata kerjasama tersebut memberi peluang kepada pihaknya untuk memperluas perkhidmatan dengan menyediakan penyelesaian kewangan Islam yang memberi impak sosial yang besar untuk mencipta kehidupan lebih baik, bersama.

“Dengan menambah portfolio kami sebagai ejen ASNB pertama bagi Wakaf ASNB, kami dapat memudahkan masyarakat untuk beramal melalui pelaburan dalam unit amanah ASNB yang boleh diwakafkan,” katanya.

Khairul berkata untuk menggalakkan orang ramai berwakaf, 100 pewakaf pertama yang membuat Wakaf ASNB melalui Bank Muamalat akan menerima baucar e-dompet Touch 'n Go bernilai RM30.

“Penawaran Wakaf ASNB melalui Bank Muamalat menzahirkan komitmen kami untuk memperkasakan sistem kewangan Islam,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai transaksi Wakaf ASNB di Bank Muamalat, pelanggan boleh melayari laman sesawang bank itu di www.muamalat.com.my atau mengunjungi cawangan bank tersebut yang terdekat. 

-- BERNAMA