BERITA TERKINI   Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid meninggal dunia tengah hari tadi | Inflasi Malaysia naik 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Semua kegiatan agama dan pembinaan rumah ibadat perlu ikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa - PM Anwar | Puasa satu ujian keikhlasan, disiplin dan integriti - PM Anwar | Mulakan Ramadan dengan perasaan tawaduk, muhasabah dan perbaiki diri - PM Anwar | 

Agrobank Meterai MoU Dengan PPN Sarawak Untuk Biayai Aktiviti Pertanian Pintar

KUCHING, 22 April (Bernama) -- Agrobank dan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS)  hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan memperkasa para petani di seluruh negeri berkenaan melalui sokongan kewangan komprehensif.

Perjanjian itu dimeterai di antara Pengarah Wilayah Agrobank Wilayah Sarawak Abdul Halek Abdullah dengan Pengurus Besar PPNS Gom Raway.

MoU yang diadakan serentak dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agrobank itu disaksikan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Sementara itu, Tengku Ahmad Badli Shah dalam satu kenyataan hari ini berkata MoU berkenaan merupakan kerjasama strategik yang menawarkan penyelesaian kewangan bagi memenuhi keperluan komuniti tani di Sarawak. 

“Melalui sokongan perniagaan, Agrobank berhasrat untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai usahawan dalam industri agromakanan seterusnya menjamin kelangsungan agenda keterjaminan  makanan negara,” katanya.

Beliau berkata pembiayaan yang ditawarkan Agrobank menjurus kepada aktiviti pertanian mampan selain menggunakan mekanisasi dan pertanian pintar yang berkaitan dengan ekonomi digital.

Selain itu, pembiayaan itu turut menampung pemprosesan berasaskan pertanian, inisiatif bioteknologi, operasi ternakan sehinggalah kepada usaha agro pelancongan. 

“Melalui kerjasama strategik ini, Agrobank berharap komuniti tani Sarawak dapat berkembang dan menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara menerusi sektor agromakanan,” katanya.

-- BERNAMA