BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Unit Petronas Hantar Kargo LNG Pertama Kepada Anak Syarikat PetroVietnam

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui anak syarikatnya Petronas LNG Ltd (PLL) memuktamadkan penghantaran kargo gas asli cecair (LNG) pertamanya kepada anak syarikat PetroVietnam (PVN), PetroVietnam Gas (PV Gas).

Petronas menerusi satu kenyataan hari ini berkata penghantaran tersebut menandakan permulaan kerjasama antara PLL dengan PV Gas.

Kargo LNG itu dihantar dari Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak, ke Terminal LNG Thi Vai di Wilayah Ba Ria-Vung Tau.

Naib presiden pemasaran dan perdagangan LNG Petronas, Shamsairi Ibrahim berkata Petronas terus komited menyokong PVN bagi memenuhi permintaan elektrik di Vietnam dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan industrinya.

"Penghantaran sulung LNG ini merupakan pencapaian penting dalam perkongsian kami dan meletakkan asas bagi kerjasama yang lebih kukuh pada masa depan, memastikan jamiman tenaga dan menyumbang kepada peralihan tenaga Vietnam," katanya.

Kargo itu diangkut oleh Seri Ayu, kapal LNG yang disewa daripada anak syarikat Petronas, MISC Bhd.

Pada masa depan, Petronas dan PVN akan terus mencari ruang baharu bagi kerjasama perniagaan LNG.

-- BERNAMA