BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Taghill Peroleh Kontrak Bernilai RM494.65 Juta Daripada Indo Aman Bina

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Taghill Holdings Bhd telah mendapat kontrak pembangunan hartanah bernilai RM494.65 juta oleh syarikat hartanah Indo Aman Bina Sdn Bhd (IAB).

Anak syarikat milik penuh Taghill Holdings, Taghill Projects Sdn Bhd (TPSB) hari ini menerima surat anugerah (LOA) daripada IAB untuk cadangan pembinaan dan penyiapan projek pembangunan perniagaan fasa 1b di Bandar Seri Damansara, Selangor.

Projek itu termasuk satu blok pangsapuri servis 55 tingkat termasuk dua tingkat kemudahan dan rooftop garden di Aras 67 dan Aras 68 di Blok A serta blok apartmen servis 55 tingkat termasuk dua tingkat kemudahan dan rooftop garden di Aras 67 dan Aras 68 di Blok B.

“Projek itu adalah untuk tempoh 40 bulan dari tarikh penerimaan LOA sehingga tarikh siap pada 9 Julai, 2028, tertakluk kepada sebarang lanjutan masa operasi di bawah kontrak,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut LOA berkenaan, TPSB akan mengemukakan bon pelaksanaan sebanyak RM24.73 juta, iaitu lima peratus daripada jumlah kontrak sebagai jaminan untuk pelaksanaan kerja sepatutnya dan wajar.

Taghill Holdings berkata tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei, 2025 dan sepanjang tempoh projek tersebut.

-- BERNAMA