BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Bursa Malaysia Berjaya Bendung Akses Dan Aktiviti Dagangan Tanpa Kebenaran

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama)  -- Bursa Malaysia Bhd dengan kerjasama rapat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjelaskan mengenai kerugian kesan daripada insiden akses dan aktiviti dagangan tanpa kebenaran yang berlaku pada 24 April 2025, dikenal pasti dan berjaya dibendung.

Insiden ini yang melibatkan akaun dagangan dalam talian milik pelanggan di bawah sebilangan kecil broker, kini dikenal pasti dan langkah diambil bagi mengelakkan kejadian berulang.

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan berkata, bagi menangani kesannya, pengawal selia pasaran modal bekerjasama dengan pihak industri untuk menyelesaikan kesan dagangan tanpa kebenaran tersebut secara adil dan telus.

Katanya, pihaknya sudah memulakan perbincangan dengan broker yang terjejas mengenai cara untuk mengurus dagangan tanpa kebenaran berkenaan.

Sementara itu, Bursa Malaysia mengeluarkan satu arahan pada petang semalam (27 April 2025) kepada broker-broker yang berkaitan iaitu sekuriti dan hasil yang terjejas akan disimpan untuk tempoh 14 hari atau selama yang diperlukan bagi membantu siasatan.

Isu dagangan tanpa kebenaran hanya terhad kepada Bina Puri Holdings Bhd dan Waran-B Bina Puri pada petang Khamis lepas.

Tiada dagangan tanpa kebenaran lain yang berlaku sejak itu.

Sehubungan itu, semua broker dinasihatkan untuk memperkukuh kawalan dalaman dan pertahanan siber masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut kenyataan berkenaan, audit forensik terhadap pihak yang berkaitan akan dimulakan bagi menyiasat punca sebenar insiden tersebut selain menentukan bagaimana pelanggaran berlaku.

Bursa Malaysia juga mengulangi kenyataan mengenai keteguhan dan keselamatan sistem perdagangannya selain penjelasannya turut utuh.

Pasaran pula kekal boleh diakses dan teratur untuk peserta pasaran.

-- BERNAMA