BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Ringgit Ditutup Pada Paras Tertinggi Dalam Tempoh Lebih Lima Bulan Berbanding Dolar AS

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Ringgit melantun semula berbanding dolar AS untuk ditutup pada paras tertingginya dalam tempoh lebih lima bulan susulan minat baharu berikutan perbincangan tarif yang menggalakkan antara Malaysia dan kerajaan AS.

Pada 6 petang, unit wang tempatan meningkat kepada 4.3615/3665 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3705/3770 pada Jumaat minggu lepas.

Pengarah urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mendapat rangsangan daripada keyakinan yang semakin meningkat berikutan permulaan yang baik dalam rundingan perdagangan antara AS-Malaysia baru-baru ini.

"Mata wang Malaysia mendapat sokongan selepas laporan bahawa rundingan perdagangan AS-Malaysia 'bermula dengan cukup baik', dan perkembangan ini telah menyokong persepsi pasaran dan meningkatkan sentimen terhadap ringgit hari ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid juga berpandangan ringgit dijangka terus meningkat memandangkan perkembangan positif dalam rundingan tarif antara AS-Malaysia.  

Selain itu, katanya, sidang khas parlimen yang dijadualkan pada 5 Mei depan untuk membincangkan isu berkaitan tarif menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia menangani cabaran ekonomi semasa secara proaktif.

“Ini, barangkali, telah merangsang keyakinan walaupun tahap ketidakpastian masih lagi kekal tinggi,” katanya.

Pada sesi penutup, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0406/0443 daripada 3.0431/0481 pada Jumaat minggu lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.9507/9564 daripada 4.9596/9670 namun hampir tidak berubah berbanding pound Britain pada 5.8195/8262 daripada 5.8128/8214.

Di peringkat serantau ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN lain. 

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3198/3238 daripada 3.3228/3280 pada Jumaat minggu lepas, meningkat berbanding baht Thai baht kepada 12.9517/9743 daripada 13.0195/0450, naik berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.74 daripada  7.77/7.78 dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 258.7/259.1  daripada 259.6/260.2.

-- BERNAMA