BERITA TERKINI   Penganalisis ekonomi Prof Madya Datuk Dr Madeline Berma meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pagi tadi - ahli keluarga | PRK DUN Lamag: Mohd Ismail Ayob dipilih calon wakili BN - Pengerusi UMNO Sabah | Ahmad Faizal Azumu umum letak jawatan Pengerusi PN Perak | Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | Datuk Dr Sahruddin Jamal umum letak jawatan Pengerusi PN Johor | 

KDNK Sabah Meningkat Kepada RM83.2 Bilion Tahun Lepas - Hajiji

KOTA KINABALU, 29 April (Bernama) -- Ekonomi Sabah tmenunjukkan pertumbuhan positif apabila keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) meningkat kepada RM83.2 bilion tahun lepas daripada RM82.1 bilion pada 2023, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata pencapaian itu merupakan hasil kerjasama padu daripada pelbagai pihak berkepentingan di negeri ini.

“Pertumbuhan itu sejajar dengan KDNK negara, yang diunjurkan meningkat sebanyak 2.5 peratus melalui Rangka Kerja Ekonomi MADANI,” katanya menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, di sini,hari ini.

Ketua Menteri menekankan tentang kepentingan untuk meneruskan sumbangan positif dan menjalin kerjasama erat bagi merealisasikan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Beliau berkata kerajaan negeri telah membangunkan Pelan Pembangunan Strategik Negeri Sabah 2026-2030 untuk meningkatkan ekonomi Sabah.

“Rangka kerja ini akan menggabungkan pelbagai inisiatif, termasuk inisiatif Ekonomi Biru dan agenda pembangunan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

Sementara itu Hajiji menggesa agar pemantauan dipertingkatkan ke atas 1,265 projek dan program yang dijadualkan siap tahun ini, menggesa kepimpinan negeri dan ketua jabatan mengekalkan pengawasan lebih rapi.

Beliau berkata ini memerlukan anjakan paradigma dalam pelaksanaan sambil menekankan keperluan untuk beralih daripada proses lapuk dan pemikiran negatif yang tidak mahu mengiktiraf pencapaian negeri.

Menurutnya, Sabah menerima satu daripada peruntukan tertinggi di bawah belanjawan negara, dengan RM6.7 bilion diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan tahun ini.

-- BERNAMA