Pasaran Getah Teruskan Penurunan Seiring Pengukuhan Ringgit
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia melanjutkan aliran menurun hari ini seiring dengan pasaran hadapan getah serantau dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila China menangguhkan rangsangan tambahan, kata seorang peniaga.
Beliau memberitahu Bernama bahawa penurunan harga minyak di tengah-tengah perang perdagangan AS-China yang berterusan turut menjejaskan sentimen pasaran.
"Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh keyakinan pasaran terhadap pelepasan tarif automotif oleh Presiden AS Donald Trump dan prospek permintaan getah asli yang cerah yang dilaporkan oleh Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC),” tambahnya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan bahawa harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 turun 9.0 sen kepada 738.50 sen sekilogram, manakala susu getah pukal susut 5.0 sen kepada 661.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA