BERITA TERKINI   Kerajaan tegas dan tidak akan bertolak ansur dalam hadapi isu rasuah, tidak kira kawan atau lawan - PM Anwar | Penganalisis ekonomi Prof Madya Datuk Dr Madeline Berma meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pagi tadi - ahli keluarga | PRK DUN Lamag: Mohd Ismail Ayob dipilih calon wakili BN - Pengerusi UMNO Sabah | Ahmad Faizal Azumu umum letak jawatan Pengerusi PN Perak | Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | 

KDNK 2024 Sabah Diunjur Meningkat Kepada RM83.2 Bilion - Hajiji

KOTA KINABALU, 30 April (Bernama) -- Ekonomi Sabah menunjukkan pertumbuhan positif dengan keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) bagi 2024 diunjur meningkat kepada RM84.9 bilion daripada RM83.2 bilion pada 2023, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor

Hajiji menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri berkata pencapaian itu merupakan hasil kerjasama padu daripada pelbagai pihak berkepentingan di negeri ini.

Ketua Menteri menekankan tentang kepentingan untuk meneruskan sumbangan positif dan menjalin kerjasama erat bagi merealisasikan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Beliau berkata kerajaan negeri telah membangunkan Pelan Pembangunan Strategik Negeri Sabah 2026-2030 untuk meningkatkan ekonomi Sabah.

“Rangka kerja ini akan menggabungkan pelbagai inisiatif, termasuk inisiatif Ekonomi Biru dan agenda pembangunan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

Sementara itu Hajiji menggesa agar pemantauan dipertingkatkan ke atas 1,265 projek dan program yang dijadualkan siap tahun ini, menggesa kepimpinan negeri dan ketua jabatan mengekalkan pengawasan lebih rapi.

Beliau berkata ini memerlukan anjakan paradigma dalam pelaksanaan sambil menekankan keperluan untuk beralih daripada proses lapuk dan pemikiran negatif yang tidak mahu mengiktiraf pencapaian negeri.

Menurutnya, Sabah menerima satu daripada peruntukan tertinggi di bawah belanjawan negara, dengan RM6.7 bilion diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan tahun ini.

-- BERNAMA