BERITA TERKINI   KLFA perkukuh kerjasama dengan KBS dalam pembangunan jurulatih dan program belia - Fahmi | KLFA sedang kukuh kerjasama dengan KPM dalam memperkasa bola sepak di peringkat sekolah - Fahmi | PM Anwar umum dana RM1 juta kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur | Tiga ladang ternakan babi di Tasek Gelugor, Pulau Pinang disahkan positif penyakit demam babi Afrika - Pengarah JPV Negeri | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Pada Ringgit Yang Lebih Kukuh

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah hari ini, didorong oleh prestasi bercampur-campur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada 4.33 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2765/2825 berbanding dolar AS ketika ditutup pada Rabu pada 4.3130/3185.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah dan kebimbangan terhadap pengetatan bekalan getah asli di tengah-tengah keyakinan baharu yang menyelubungi rundingan perdagangan China dan AS.

Katanya, agensi meteorologi Thailand memberi amaran mengenai hujan lebat dan banjir kilat di selatan negara itu bermula 2 hingga 7 Mei, yang boleh menjejaskan bekalan getah.

Selain itu, harga minyak meningkat pada Jumaat, semakin pulih daripada penurunan baru-baru ini selepas China berkata negara itu terbuka kepada rundingan perdagangan, mungkin menandakan kesediaan Beijing untuk menyambung semula rundingan.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga SMR 20 susut 7.5 sen kepada 738.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot 5.0 sen kepada 609.0 sen sekilogram.

-- BERNAMA